Showing posts with label arkib isu. Show all posts
Showing posts with label arkib isu. Show all posts

Spencer Wall, non-muslim yang memakai hijab

Spencer Wall, fourth-year English and sociology major, talks about her experience wearing a hijab on Wednesday night at Kerbey Lane Cafe. Wall, a Christian from West Texas, embarked on a personal experience in which she dressed as a Muslim woman for a year, starting in April.


Apa yang dilakukan Spencer Wall, seorang perempuan AS berusia 20 tahun berasal West Texas, tergolong unik dan tidak lazim di tengah masyarakat yang majoriti sakular non-Muslim. Wall sendiri beragama Kristian, tapi sejak akhir April lalu, ia memutuskan untuk mengenakan busana muslimah lengkap dengan jilbabnya selama satu tahun ini.

Apa sebenarnya tujuan Wall melakukan itu semua?

Wall mengatakan bahwa ia tidak sedang berkesperimen tapi ia belajar dari pengalaman. Ia ingin merasakan bagaimana rasanya menjadi bagian kumpulan miniroti-seperti komuniti Muslim- yang kehadirannya selalu dipandang sebelah mata dan dicurigai. Meski Wall sendiri mendakwa tidak suka mewakili komuniti Muslim.

"Saya bukan ingin mewakili para muslimah atau komuniti Muslim. Saya ingin tahu seperti apa rasanya menjadi seperti mereka, sebentar saja ..." ujar Wall.

Perubahan penampilan Wall tentu saja mengundang tanya teman-teman dan orang-orang di kawasan Wall. Dan Wall memang mengalami hal-hal yang tidak diharapkannya sejak mengenakan jilbab dan busana muslimah. Orang kerap memandang Wall dengan curiga, tidak mau berbicara dengannya dan ia sering menerima cemuhan. Bahkan pernah ada pengunjung di restoran tempatnya bekerja, menolak dilayani Wall. Tapi seperti kebanyakan muslimah di AS yang kerap menerima perlakuan tersebut, Wall tidak ambil peduli dan tetap melangkah.

Pertanyaan yang paling sering diterima Wall adalah pertanyaan dari mana ia berasal. Pertanyaan sempit orang-orang Amerika yang masih melihat warga Muslim sebagai pendatang haram. Awalnya, Wall menjawab pertanyaan itu dengan penjelasan soal "keinginannya belajar dari pengalaman". Tapi lama-lama, Wall bosan juga dan menjawab pertanyaan itu dengan kalimat pendek,

"Saya bukan Muslim, tapi saya mengenakan jilbab karena saya menginginkannya."

Meski demikian, Wall mengakui pernyataannya itu tidak sepenuhnya benar, karana jauh di dalam hatinya ia merasa tidak boleh keluar rumah tanpa mengenakan busana muslimah. "Saya pernah mencuba tidak mengenakan jilbab sehari saja. Ternyata saya tidak mampu melakukannya," aku Wall.

Bukan hanya dalam berbusana, Wall juga mengikuti kebiasaan sebagaimana layaknya muslimah. Ia menolak hubungan seks bebas dengan lelaki. Di butik pakaian, Wall pernah meminta pelayan butik untuk menutup celah yang agak terbuka di tempat ganti pakaian, kerana kakinya akan terlihat ketika mencuba pakaian.

Wall mengatakan, pengalamannya "menjadi seorang muslimah" mengajarkannya untuk menghargai dan menghormati hal-hal yang sifatnya peribadi bagi dirinya sendiri. Satu hal yang menurut Wall, tidak pernah ia rasakan dalam ajaran agama Kristian. Wall bahkan mengatakan, suatu hari nanti ia juga ingin merasakan bagaimana rasanya menjalankan solat lima waktu setiap hari.

"Seperti Anda tahu, kami hidup di tengah masyarakat yang tidak peduli dengan aktiviti peribadahan. Dengan pengalaman saya sekarang, saya merasakan diri saya lebih dekat dengan Tuhan," ungkap Wall.

"Pengalaman ini mengajarkan saya untuk menghormati perempuan yang memutuskan untuk di rumah saja menjaga dan mendidik anak-anaknya, menghormati mereka yang mengenakan jilbab dan beraktiviti di luar atau ingin menjadi seorang CEO," sambung Wall.

Walaupun sudah berbusana muslimah dan menyatakan ingin mencuba solat lima waktu, untuk ketika ini cahaya Islam mungkin belum menyentuh Wall.

Semoga di suatu saat Allah SWT memberikan hidayah Islam padanya.



sumber: http://eramuslim.com



Respon HEWI :

Dia (Spencer Wall) dah merasainya. Merasa dekat dengan tuhan semasa menjalankan perintah memakai hijab. Kita bagaimana? Adakah kita merasainya? Beza kita antara dia cuma IMAN. Tapi dia merasainya. Amat pelik kita tidak merasainya.

Menurut pendapat saya, muslimah yang mengenakan hijab ada beberapa ciri, Muslimah memakai hijab kerana....

1. Allah ( seperti yang dituntut Islam )

2. dah biasa berhijab dari kecil lagi, sebab mak suruh. Even masuk Universiti pun, kalau tak pakai hijab nanti keluarga kecewa dan marah. ( tergolong Islam pada keturunan ni )

3. suami atau boyfriend suka tengok kalau berhijab ni, nampak lawa dan sopan. ( ni tergolong dalam muslimah tak ada prinsip )

4. masa kuliah kena pakai, wajib. Setakat kawasan kampung ni, buat apa nak pakai, dari kecil sampai besar orang kampung tengok. Dah biasa. Macam keluarga la jugak. ( golongan hati yang berbolak balik )

Jadi, fikir semula. Dia (Spencer Wall) siapa, kita siapa. Berbalik kepada arahan Pencipta kita dalam surah An-Nur : 31
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. "


Moga hidayah Allah sampai kepada hati Spencer Wall untuk menerima kebenaran cahaya Islam.

Moga hidayah Allah juga membuka hati para muslimah kita di luar sana, yang masih meragukan
Iman mereka tentang hijab.

TERUSKAN MEMBACA

Jenayah Ragut : Adakah Kita Umpama Tikus Membaiki Labu?



Utusan Malaysia dalam laporan akhbar pada 17 April 2009 baru-baru ini telah mendedahkan fakta bahawa jenayah ragut di Kuala Lumpur telah mencatatkan kenaikan mendadak hampir 100%. Ini berdasarkan statistik jenayah ragut pada bulan Januari hingga April 2009 yang mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam bulan ini sahaja, pada hari Selasa – 5 Mei 2009 ; Seorang wanita hamil, Puan Jamilah Selamat telah meninggal dunia di Johor Baharu selepas koma akibat diragut semasa menunggang motorsikal. Pada hari Rabu – 6 Mei 2009 : dua kejadian sama berlaku di dua tempat berbeza. Puan Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok Kelantan yang mengandung tiga bulan, maut selepas diragut oleh seorang lelaki. Manakala di Pulau Pinang Nenek Tom Salleh,86 telah meninggal dunia kerana menyelamatkan anaknya dari menjadi mangsa ragut.

Pihak kerajaan,pihak polis,pihak berwajib yang lain serta semua rakyat malaysia perlu membuka mata lebih luas kerana kes jenayah ragut ini menjadi semakin tidak terbendung. Apa yang diperlukan kini, bukan sekadar cadangan dan lontaran idea yang bertimbun-timbun. Tapi apa yang penting pelaksanaan cadangan dalam bentuk tindakan yang lebih praktikal.

Bentuk penyelesaian yang perlu dilaksanakan ialah terhadap penjenayah ragut ini sendiri sama ada dalam bentuk pendidikan kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan. Dari satu segi pula, perlunya ada usaha pencegahan dan pendidikan kesedaran di kalangan ahli masyarakat khususnya golongan wanita yang lazimnya menjadi sasaran utama peragut.

Bentuk penyelesaian terhadap penjenayah ragut yang perlu di nilai kembali ialah salah satunya ialah saranan yang pernah dilontarkan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya kerajaan meningkatkan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah sebagai langkah mencegah kejadian jenayah termasuk ragut, perlu diberi perhatian pelbagai pihak, ini kerana 58,000 bekas penagih dadah keluar dari pusat serenti dan mereka cuba mendapatkan pekerjaan.Bagaimanapun, apabila gagal dan kecewa dalam persaingan, golongan itu mudah terjebak semula dalam gejala penagihan, sekali gus mendedahkan mereka kepada jenayah ragut atau mencuri. Tambahan pula dalam era krisis ekonomi yang semakin meruncing, golongan ini menjadi lebih terdesak dan mengambil jalan mudah dengan melakukan jenayah ini.

Satu bentuk tindakan yang tegas dalam bentuk hukuman dan penguatkusaan kepada peragut juga perlu dilakukan. Cadangan untuk mewujudkan akta khusus ragut yang diutarakan oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang juga wajar untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Akta yang ada kini dilihat tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada penjenayah ragut,kerana kebiasaannya jenayah ragut ini dilakukan oleh orang yang sama dek kerana mereka telah merasa ‘selesa’ dengan perkerjaan mungkar yang mereka lakukan.

Seterusnya, saranan kepada golongan yang berpotensi menjadi mangsa ragut, khususnya wanita. Teramat banyak kempen dan usaha memberi kesedaran kepada wanita tentang pentingnya menjaga keselamatan diri sendiri namun masih tidak berkesan. Realiti kes yang berlaku adalah apabila wanita kini masih terleka dan mendedahkan diri sendiri kepada bahaya ragut itu sendiri.

Dalam Islam sendiri telah menggariskan beberapa panduan terbaik kepada wanita sebagai langkah pencegahan berlakunya jenayah. Mungkin selama ini kita terlepas pandang dan hanya memandang remeh panduan ini. Antaranya ; Keluar rumah atas tujuan yang perlu sahaja seperti berkerja, menuntut ilmu, dan lain-lain tujuan yang baik. Selain itu, disarankan wanita agar tidak keluar berseorangan dan sewajibnya mematuhi garis panduan pakaian yang telah ditetapkan dalam Islam. Jika panduan ini di laksanakan sebaik mungkin, sudah pasti ianya akan menjadi benteng pencegahan terbaik bagi wanita.

Persoalan yang ingin ditimbulkan untuk renungan bersama? Adakah selama ini, penyelesaian yang dilakukan adalah umpama tikus membaiki labu. Tidak menyelesaikan masalah malah menambah burukkan lagi masalah. Ataupun, sebenarnya langkah penyelesaian yang dilakukan umpama mekanik yang menukar tayar motor sahaja sedangkan tiubnya yang telah bocor tidak ditukar?Kita telah tersalah analisis punca masalah sebenar dan menyebabkan kegagalan yang berterusan.


Justeru, muhasabah dan refklesi kembali perlu di lakukan disetiap peringkat. Tindakan segera dan efektif perlu dicatur dan dilaksanakan oleh semua pihak. Apa jua tindakan itu, diharapkan dapat melindungi rakyat negara ini untuk terus merasa selamat berjalan di negara sendiri.

Oleh :
Fasihah Mohd Pauzi
Timb.Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
TERUSKAN MEMBACA

HEWI PMIUM membantah penganjuran MUSAWAH oleh SIS!!!

Islam adalah dien al-haq yang diwahyukan oleh Allah ta'ala kepada Rasul-Nya yang terakhir Muhammad.

"Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi."(Surah Al-Fath: ayat 28)



Sebagai rahmat bagi semesta alam:

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."(Surah Al-Anbiya': ayat 107)



Dan sebagai satu-satunya agama yang diridhai oleh Allah ta'ala:

"Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam." (Surah Ali Imran: ayat 19)



Bermula pada hari ini, 13 Feb 2009 hingga 18 Feb 2009, sebuah badan bukan kerajaan, Sister in Islam (SIS) akan menganjurkan suatu program iaitu program Musawah bertempat di Hotel Prince, Kuala Lumpur secara tertutup.



Perjumpaan ini katanya bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar iaitu antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain. Program Musawah adalah 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family'.



Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) turut menyelar penganjuran program Musawah yang membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam. Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata pertemuan Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar. Menurut beliau lagi, Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syariat yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah.



Mazhab Islam Liberal hadir sesungguhnya dengan maksud untuk memutarbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan untuk mendangkalkan keyakinan umat, dan berusaha untuk menjauhkan mereka. Bahkan, sampai batas tertentu, mazhab ini berusaha memurtadkan mereka untuk kemudian mendorong mereka agar memeluk keyakinan baru (demokrasi, sekularisme, sinkretisme, humanisme).



Pergerakan SIS di Malaysia terutamanya adalah hasil daripada pengaruh barat yang datang bertopengkan perjuangan hak asasi wanita terutamanya dalam institusi kekeluargaan Islam dan pelbagai hal lagi yang berkaitan dengan wanita islam. Di Barat sendiri, perjuangan yang menuntut hak penyemarataan dengan lelaki yang dipanggil feminism telah bermula di era 60-an lagi. Diantara tuntutan pergerakan ini tehadap kerajaan adalah supaya menghapuskan institusi kekeluargaan dan meminta kerajaan menyediakan asrama awam untuk meletakkan anak yang dilahirkan untuk dijaga oleh kakitangan awam.Ini sudah melampau.



Tercetusnya pergerakan ini kerana latarbelakang tamadun Barat yang sentiasa menjadikan wanita adalah golongan kelas kedua dimana hak mereka untuk belajar, mempunyai harta dan sebagainya telah dinafikan. Begitu juga di zaman sebelum era 60-an lagi, iaitu ketika tamadun Greek, Rom dan Parsi dimana mereka mengaggap wanita adalah penghuni neraka kerana membuat orang lelaki tergoda. Wanita pada ketika itu, dilayan sepertti haiwan, meraka diberi pakaian tetapi mereka dijadikan hamba seks kepada golongan lelaki, dijual dipasar, tidak dibenarkan keluar rumah dan jika melahirkan anak perempuan, orang akan memandang jijik dan mengutuk wanita tersebut.



Kita sedia maklum, selepas kedatangan Rasulullah S.A.W, martabat wanita itu diangkat tinggi. Sesiapa ingin mengahwini wanita, perlu membayar mas kahwin, diberi peluang untuk menuntut ilmu, peranan wanita di rumah dipandang tinggi dalam mendidik anak dan di bidang-bidang lain. Sehingga Saidatina Aisyah r.a sendiri pun boleh menjadi perawi hadis yang menjadi rujukan para sahabat selepas kewafatan baginda.



Berbalik kepada SIS, pergerakan ini menjadi kontrovesi disebabkan penentangan mereka terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (MFKM) terhadap isu-isu semasa seperti pengharaman Yoga, tomboy, kes murtad dan pelbagai lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penentangan SIS, anda bolehlah layari sendiri laman web SIS (http://www.sistersinislam.org.my). Namun para pembaca yang budiman tidak terpengaruh dengan hasil-hasil penulisan mereka. Banyakkan beristighfar semasa membaca laman tersebut. Namun, bagaimana pergerakan ini masih bergerak aktif dan tidak diharamkan sesat oleh kerajaan Malaysia? Apakah penjelasan dan jalan penyelesaian yang dibuat di peringkat Kerajaan di atas permasalahan ini? Malah ada pemimpin Malaysia yang turut menjadi penyokong dan pendokong SIS ini... Sama-sama kita fikir dan renung-renungkan.



Di zaman abad ke 21 yang penuh dengan cabaran untuk memesongkan akidah ini, umat Islam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan fahaman dan pergerakan yang banyak memesongkan akidah umat Islam.



Oleh itu kami HEWI PMIUM mewakili seluruh mahasiswa/i Universiti Malaya menentang dan membantah penganjuran MUSAWAH. Kami turut menyeru semua muslim seluruh dunia agar tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menentang ajaran Islam yang sebenar dan Carilah sebanyak mungkin maklumat tentang suatu pergerakan dan fahaman yang diragui berpandu kepada al-Quran dan as-Sunnah serta bertanyalah kepada ulama muktabar atau yang lebih 'alim (berilmu) dalam perkara ini untuk mengelakkan diri daripada termasuk di dalam golongan ini. Nauzubillahiminzalik.



Kesimpulannya Islam adalah addeen (cara hidup) untuk dihayati dan dipraktikkan, bukan suatu teori yang boleh dicabar dan diuji kebenarannya. Sesungguhnya Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah kerana Islam adalah satu-satunya agama disisi (diterima oleh) Allah dan ajaran Islam itu sendiri yang lengkap dan menyeluruh iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa pengecualian dari sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar perkara dan Islam itu bersifat 'alamiyyah yakni sesuai untuk semua orang, tempat dan sepanjang zaman. Wallahuallam.
TERUSKAN MEMBACA

Bukankah tangan itu yang..

Sambungan tajuk :
Bukankah tangan itu yang menghayun buaian..sekarang sudah bisa memegang tittle Ketua Polis Negeri.
Begitulah keadaannya wanita pada masa kini, sudahpun mempunyai keterlibatan yang serius dalam pelbagai arena pekerjaan. Jikalau dahulu, peluang untuk bekerja dilapangan kaum Adam amatlah terlalu asing bagi wanita tetapi sekarang ia menjadi kebiasaan bagi kaum Hawa untuk terlibat secara terus. Jika kita selidiki Sirah Junjungan, Kaum Hawa juga terlibat sama dalam beberapa siri peperangan bersama-sama Kaum Adam. Tambahan pula lagi pada zaman sekarang..

Wanita yang bertuah ini ialah Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abd. Ghani mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Polis Negeri wanita yang pertama di negara ini. Puan Robiah, 55, telah dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Pahang yang baru dengan pangkat Pemangku Deputi Komisioner (DCP), menggantikan Datuk Ayob Mohamed yang bersara wajib September ini dan kini sedang bercuti. Tahniah diucapkan.


Peristiwa yang bersejarah ini adalah satu penghargaan yang besar untuk insan yang bergelar wanita, isteri dan juga ibu. Dengan ini bertambahlah tanggungjawab serta amanah Datuk Robiah yang mempunyai 3 orang anak. Tugas menjadi seorang ketua serta bertanggungjawab menjaga keamanan bahkan menjamin keselamatan awam.


Itulah wanita, berbekalkan kekuatan mental dan fizikal yang dikurniakan Allah ia dapat membantu dalam pembangunan dan pembinaan negara. Sesungguhnya,Islam mengangkat martabat wanita dengan kehadiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.. bersyukurnya menjadi insan yang bergelar Hawa.


Buat semua insan yang bergelar wanita, kita mempunyai peranan yang besar dalam agenda membaik pulih akhlak dan peribadi insan lain,yang juga bergelar wanita. Sesungguhnya kecil-kecil kerja adalah amanah, jadi gunakanlah setiap ruang dan peluang untuk sama-sama menjaga dan memastikan wanita di sekeliling kita, anak-anak remaja perempuan dan sahabat-sahabat kita selamat dari hanyutan dunia yang sementara ini.
TERUSKAN MEMBACA

Siapa mahasiswa; Peranan dan Sumbangannya

ISTIMEWA BUAT BAKAL MAHASISWA BARU UNI PERDANA, DAN JUGA MAHASISWA-MAHASISWA LAIN AMNYA

“Suatu bangsa yang maju tidak cukup hanya dengan pemimpin yang bijak dan bercita-cita, tetapi memerlukan angkatan muda yang bukan sahaja cergas, tetapi juga bercita-cita.” Begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang. Angkatan muda yang dimaksudkan oleh beliau semestinya adalah golongan pemuda-pemudi, atau dalam konteks dunia hari ini ialah kelompok mahasiswa. Benarkah begitu? Atau kita ingin maksudkan kepada mat-mat rempit di hangat malam dan kutu rayau di embun fajar?

Mahasiswalah merupakan satu golongan yang sering menjadi perbualan dari dulu sehingga sekarang. Sudah sekian banyak diskusi, forum mahupun ceramah berkenaan mahasiswa yang melatari serata tempat. Apakah peranan mahasiswa, bagaimana yang dikatakan mahasiswa idealis, masalah-masalah yang mencengkam mahasiswa dan banyak lagi persoalan serta gagasan yang terus-terusan dikupas. Namun begitu, siapakah pula yang dimaksudkan dengan mahasiswa? Ternyata mahasiswa itu adalah ANDA!

Soalan yang sering dilontarkan dan menjadi perbahasan, apakah PERANAN dan SUMBANGAN mahasiswa? Adakah hanya berbangga dengan gelaran mahasiswa sedang diri masih penuh dengan monolog dan tanda tanya? Apakah sudah riuh sekampung kononnya anak Pak Dolah hebat, sudah masuk Universiti Malaya tetapi hati sang empunya masih berteka-teki dan berdialog, nanar tidak tahu punca dan arah sebenar. Apa makna dan erti pada sebuah gelaran terhormat seumpama mahasiswa jika diri masih tenggelam punca?

Ternyata yang ada di kotak pemikiran dan ruang lingkup mahasiswa kini hanyalah 3K. Kata seorang pensyarah varsiti kesayangan kita ini, Mahasiswa sekarang sudah terkena sindrom 3K”. Ini bukan Datuk K buah hati pengarang jantung Datuk Siti Nurhaliza, malahan ini adalah sindrom Kolej, Kuliah, Kafe. Pagi-pagi dari kolej ke fakulti mendengar kuliah, langsung ke kafe untuk makan bersama buah hati, dan lewat petang pulang ke kolej semula untuk memerap di dalam bilik. Sudahlah tidak turun berjemaah di surau kolej kediaman bagi mahasiswa muslim yang tinggal di kolej, sudahnya tidak pula bergaul dengan masyarakat serta kawan-kawan sekitar yang pelbagai bangsa. Segala program yang baik dan bermanfaat ditolak ke tepi malahan ajakan menyertai program-program ilmiah dilempar jauh! Lebih enak bercanda di bilik tidur, sambil baring-baring menonton filem Cicak Man, membawa ke drama Korea My Girl yang bersiri-siri, atau di hujung-hujung minggu keluar ke Mid Valley untuk bersiar-siar mencuci mata dan membuang masa!

Kalau dibandingkan mahasiswa sekarang dengan mahasiswa dahulu, sangatlah jauh perbezaannya. Dulu, mahasiswa dengan idealismanya dapat menjadi payung kepada masyarakat marhain yang perlukan pembelaan. Tanpa perlu masyarakat menghulur tangan dan menagih simpati di kaki mahasiswa. Bandingkan hal tersebut dengan mahasiswa sekarang, yang mengalami degradasi, baik dari segi intelektualisma, idealisma, patriotisma, maupun semangat jati diri mereka. Usahkan menghulurkan tangan tanda bersimpati dan mengamalkan budaya volunteer, telinga pula dipekakkan pada segala ajakan dan permintaan dari masyarakat. Lihatlah betapa parahnya mahasiswa sekarang. Mahasiswa sekarang, cenderung untuk berpikir pragmatis dalam menghadapi persoalan. Kondisi seperti itu, menjadikan kampus benar-benar menjadi suatu ‘menara gading’ dan jauh dari jangkauan kalangan masyarakat kecil. Mahasiswa menjadi kelas yang elite dan sama sekali tidak tersentuh dengan persoalan kerakyatan.

Bukan itu maknanya pada sebuah gelaran dan sanjungan masyarakat pada seorang peribadi bernama mahasiswa. Di tangan mahasiswa terletaknya pengaduan mereka, di pundak mahasiswa tergalas harapan mereka, bibir kita terzahir suara mereka, di ayunan langkah kita tebayang perjuangan dan jerih perih mereka dan di keringat kita mengalir air mata dan darah mereka. Dalam hal itu, mahasiswa dituntut untuk dapat berperanan lebih nyata terhadap perubahan atau paling tidak menjadi pendokong dari sebuah perubahan ke arah yang lebih baik.

Bukan sahaja pada tangan masyarakat yang memerlukan kita, malah pada makna sebuah amanah dan tanggungjawab idealisma dan intelektualisma yang semakin gersang dari minda dan hati para mahasiswa. Sebarang program perlu ada unsur hiburan, kalau tidak tak best! Inilah juga antara barah yang semakin memburuk dalam diri serta jatidiri mahasiswa. Hiburan, hiburan, hiburan. Falsafah hedonis jiwa berkudis! Hasilnya, lahirlah mahasiswa yang tidak kritis, mandom, lampi (lambat pickup), dan hanya ingin berhibur akibat disumbat dengan program dan aktiviti bercorak hedonisma seperti sotong sumbat yang disumbat dengan pulut.

Jarang sekali mahasiswa cuba berfikir tentang persoalan kerakyatan, keagamaan, atau pun bagaimana konsep memajukan bangsa di era globalisasi ini. Mereka lebih suka diajak bersenang-senang untuk kepentingan peribadi yang bersifat sesaat, seperti kegiatan rekreatif dan hiburan (jika dibanding dengan kegiatan ilmiah).

Ayuh para rakan mahasiswa, kita bukanlah seperti apa yang diwar-warkan oleh masyarakat seperti di atas. Kita adalah mahasiswa yang berjiwa ‘mahasiswa’. Kita berani menggalas peranan kita yang hakiki lalu menerjemahkannya buat tatapan warga dunia, menjadi sejarah pada nadi sebuah bangsa. Siapa mahasiswa itu? ANDALAH MAHASISWA ITU. Buktikan dari sekarang bermula dengan keinginan seterusnya menerjemahkan dengan tindakan. Masa tidakkan pernah menunggu kita. ANDA MAMPU MERUBAHNYA.

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
HEWI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

TERUSKAN MEMBACA

Islam A Way of Life...

Alhamdulillah..
Bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati insan glamor bernama Aziziah Ariffin untuk menunaikan kewajipannya sebagai seorang Muslimah. Sesungguhnya inilah ketenangan yang beliau perolehi ketika umur mencecah 40 tahun. Tahniah dan semoga imej bertudung ini terus kekal serta menjadi contoh tauladan kepada muslimah yang masih belum melakukan perkara yang sama. Berbuatlah sesuatu kebaikan sebelum kita dipanggil menghadapNya kerana tiada sebarang amaran yang datang mengejutkan kita.

Sesungguhnya tudung @ hijab bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan.Muslimah-muslimah di Eropah sanggup keluar masuk ke mahkamah hanya kerana tingginya nilai sehelai kain bernama tudung. Kita melihat semakin ditekan semakin berani muslimah di luar sana mencabar
undang-undang negara mereka seperti di Perancis dan juga Belgium. Begitulah senario sekarang di Eropah.

Itu situasi yang berlaku di Eropah..Bagaimana ya di Malaysia???


TERUSKAN MEMBACA

BAHAGIAKAH MENJADI PEROGOL DAN PEMBUNUH??

sumber: http://myshahadah.blogspot.com

Mungkin tajuk di atas agak klise, atau menggelikan, mungkin agak kejam, atau agak berat dan pelbagai ‘mungkin’ lagi. Namun, mungkin-mungkin ini tidaklah sepasti kepastian bahawa derita dan seksanya jiwa-jiwa yang dicabuli dan dirogol, apatah lagi dibunuh!!

Saya jadi sangat risau memikirkan kedaan dunia sekarang. Cukup risau jika berlaku di dunia barat, bimbang ia menular mampir ke sebelah rumah. Malah, nyatanya yang sangat mendukacitakan saya bahawa ia sememangnya sudah merebak masuk ke pagar Malaysia, dan nyatanya ia sudah lama. Malahan sekarang ini semakin bengkak, bernanah dan hampir meletup. Saya kembali pada persoalan saya di atas, BAHAGIAKAH MENJADI PEROGOL DAN PEMBUNUH??

Justeru, sebagai fakta kes, saya huraikan serba sedikit di sini tentang peristiwa-peristiwa dan kronologi yang sangat sadis dan menyayat hati :

Dari 1984 hingga 2006 Feb, terdapat 87 kes rogol –bunuh, Dari jumlah 87 kes yang kejam ini, hanya 23 kes, atau pun 26.4% di selesai dengan pesalah dijatuh hukuman.

Nyatanya sekarang ini ia makin parah! Seolah-olah kita melihat, ia merupakan isu bulanan, ibaratnya seorang korban bulanan. Apa makna pada semua ini?? Contoh terdekat, baru sekejap Malaysia masih meratapi pemergian Nurin Jazlin, kehilangan Sharlinie Nashar yang masih tidak tahu beritanya, dan terbaru kes sadis Nurul Amira.

SIAPA SEBELUM NURIN JAZLIN??

Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan, 17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya.

Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun telah ditemui di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6 tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh.

Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali.

Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001.

Norshakila Ramli Choo, 6 tahun telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002.

Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan

Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

Noritta Samsudin berumur 22 tahun telah dijumpai mati di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh.

Pada 13 Jun 2003 Canny Ong Lay Kian telah dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004.

Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung.

Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah dibunuh pada 23 November 2004.

Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004.

Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Tentulah. Kita menyatakan, "Ohh..budak ni..masa ni aku form 5.. Oh, budak ni, masa tu takut sangat, sedih sangat.." dan pelbagai lagi.. Bila membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa.

Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya kes-kes seumpama ini. Ini mungkin hanya sebilangan kecil, dirogol kemudian dibunuh. BERAPA RAMAI LAGI DI LUAR SANA YANG MENJADI MANGSA ROGOL DAN MENYIMPAN TRAUMA SEUMUR HAYATNYA?? Yang disembunyikan oleh umum dan media umpamanya. Ketika ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin, ironinya terus-terusan berlaku kes-kes yang seumpama dengannya. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
SESI 08/09
TERUSKAN MEMBACA

PMIUM sokong cadangan pakaian uniform sekolah dikaji semula


“Sesungguhnya sebilangan daripada ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian, tetapi bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Nas hadis di atas jelas merupakan satu amaran daripada baginda Rasulullah SAW tentang aspek berpakaian yang tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Amaran tersebut merangkumi cara berpakaian yang nipis atau jarang, berpakaian ketat atau membentuk tubuh badan dan mendedahkan bahagian-bahagian tubuh tertentu. Untuk apa amaran tersebut? Sudah tentulah demi menjaga maruah wanita Islam, selain merupakan bukti kecintaan baginda kepada umatnya.

Saya merujuk kepada cadangan yang dikemukakan oleh Munirah binti Bahari selaku Naib Presiden Hewi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kepada Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Cadangan tersebut meminta supaya Kementerian Pelajaran merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan Islam di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dengan menukar baju seragam putih kepada baju seragam berwarna. Hal ini demikian bagi mengelakkan jenayah seksual dan penzinaan yang mungkin berlaku berikutan baju seragam sedia ada yang berwarna putih adalah jarang atau dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘transparent.’

Justeru, saya merasakan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah wajar dan seharusnya disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan satu langkah pencegahan yang baik bagi mengelakkan barah sosial sedia ada dalam masyarakat daripada terus merebak. Kita sering mendengar peribahasa Melayu yang menyebutkan ‘mencegah lebih baik daripada merawat.’ Jadi, mengapa kita tidak praktikkan peribahasa ini dalam perkara-perkara yang dirasakan wajar dan perlu?

Sebagai menambah cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tersebut, saya turut mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran lebih berhati-hati dalam setiap penentuan pakaian seragam sekolah supaya ianya selaras dengan etika pemakaian dalam Islam, kerana seperti yang kita maklumi, setiap penetapan yang telah dibuat oleh Islam pasti bertujuan menjaga kemaslahatan ummah. Selain daripada faktor pakaian seragam, adalah menjadi peranan ibu bapa dan guru-guru untuk memberi kefahaman kepada anak-anak dan pelajarnya melalui didikan agama, khususnya tentang etika pemakaian dalam Islam. Dengan demikian, pelajar akan lebih tahu ‘menjaga diri’ mereka ketika berada dalam sebarang situasi.

Sehubungan dengan itu, saya merasakan cadangan yang diutarakan oleh pucuk pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu adalah sangat wajar, sesuai dengan situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Justeru, cadangan ini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat dan dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran. Semoga manfaatnya kembali kepada para pelajar itu sendiri.

TERUSKAN MEMBACA

Buang anak: Mahasiswa UM pandang serius




ISU buang bayi nyatanya kini tumbuh kembali. Dahulu ia pernah hangat seketika, kemudian senyap dan sekarang ia makin menjadi-jadi.

Dengan semakin banyaknya penemuan bayi-bayi yang tidak berdosa, kebanyakan yang ditemui sudah pun hanya tinggal jasad yang sangat sadis untuk disaksikan, roh bayi-bayi ini sudah pun kembali menghadap Ilahi, untuk mengadu nasibnya di hadapan tuhan Yang Esa.

Apalah daya bayi-bayi kecil ini yang seharusnya keluar sahaja menjengah dunia, sepatutnya dipeluk cium dan didakap oleh hangatnya kasih ibu dan ayah, namun disambut pula dengan litupan hanyirnya sampah sarap dan pedihnya gigitan semut merah.
Baru-baru ini tersiar berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang.

Satu daripadanya seorang bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Dan seperti yang lazimnya berlaku, bayi ini sudah pun kaku tidak bernyawa.

Begitu juga dengan penemuan mayat bayi perempuan, dengan keadaan masih berdarah; terapung di perangkap sampah di dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun.

Jangan pula anda lupa pada berita sadis lagi sedih seputar hujung bulan lepas, mengenai dua mayat bayi yang dijumpai pada hari yang sama, dengan salah satunya berdekatan pasar.

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati sebanyak 65 kes buang bayi dicatat pada tahun 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu.

Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.

Kabinet Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi (HEWI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), amat memandang serius kepada permasalahan ini, kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga. Inilah masanya untuk duduk bersama, bermuhasabah dan membincangkan secara serius mengenai ketempangan akhlak dan moral yang semakin meruncing ini, dan seterusnya setiap dari kita wajar membuat tindakan lanjutan ke arahnya dengan kadar yang segera dan termampu.

Siapa dari kita dapat menyangkal mengenai kepentingan institusi keluarga itu sendiri.

Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa."
Justeru, penting sekali untuk diingatkan kepada ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak-anak dengan baik.

Ini bukanlah soal membalas dendam (sekiranya sewaktu kecil dahulu kita tidak dibesarkan dalam keluarga yang sejahtera), namun ini adalah berkaitan dengan soal pilihan.

Justeru pilihan ada di tangan kita. Pilihlah yang baik dan sejahtera untuk kehidupan kita dan generasi kita selepas ini.

Manakah suluhan yang lebih baik dari cahaya dan panduan agama itu sendiri? Justeru, rujuklah kembali kepada penyelesaian agama dalam membangunkan sebuah keluarga yang sakinah.

Demikian juga dengan tanggungjawab pemerintah dan pihak berwajib. Janganlah kerana terlalu taksub dan teruja dengan situasi politik yang ada sekarang sehingga mengabaikan tugas asasi yang terpikul di bahu masing-masing.

Agenda pembangunan ummah dan kebajikan adalah perkara nombor satu yang harus diutamakan.

Pada hemat kami, tentulah yang paling dipertanggungjawabkan dan harus cakna mengenai isu ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang mana portfolio bidang tugasnya adalah khusus mengenai hal-hal seumpama ini.

Malahan juga, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan juga persatuan-persatuan yang banyak terdapat di laman kampus juga harus menggalas tanggungjawab ini, untuk mendidik masyarakat dan juga mahasiswa mahasiswi mengenai bahayanya gejala-gejala sosial seumpama ini.

Kami insaf dengan tanggungjawab kami, dan dengan itu, kami dari pihak kabinet HEWI PMIUM akan menyokong penuh dan membantu pada segala cadangan dan gerak kerja yang baik oleh kerajaan dan pihak berwajib.

Lebih dari segala-galanya, kesedaran individu itu adalah yang paling utama.

HEWI PMIUM menggesa semua pihak khususnya seluruh wanita rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama agar sama-sama beringat dan berjaga-jaga.

Jangan lagi kita sebagai wanita rela dan mudah diperlakukan sewenang-wenangnya.

Bukan sedikit kes yang timbul akibat sifat terlalu 'mudah percaya' kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Kukuhkan diri dengan jati diri wanita yang baik dan terpelihara.

Kembalilah kepada ajaran agama, nescaya semuanya akan bahagia dan sejahtera.


SYAHADATUL HAFIZAH ABDULLAH
HEWI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

www.mstar.com.my
27 April 2008
TERUSKAN MEMBACA