Showing posts with label Dari Pimpinan. Show all posts
Showing posts with label Dari Pimpinan. Show all posts

Isu salah laku pelajar : Kerajaan perlu bertindak semula


Masyarakat Malaysia dikejutkan lagi dengan kes salah laku pelajar yang dilaporkan semalam oleh akhbar Kosmo yang berlaku di Kuala Terengganu pada 18 Jun 2009 yang lalu. Kes yang melibatkan lima pelajar perempuan dari dua sekolah menengah di Dungun, berhubung insiden pergaduhan sesama sendiri, di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, Dungun yang dirakam oleh 3 pelajar perempuan adalah kes yang perlu dipandang serius.


Kes ini bukanlah kes salah laku yang pertama yang berlaku di negeri itu, malah catatan beberapa kes yang berlaku pada Mei 2007, Februari 2008 dan Oktober 2008 memperlihatkan kepada kita segala inisiatif yang dilakukan untuk membanteras kes seperti ini menemui kegagalan.


Lebih membimbangkan lagi, data Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh. Menurut kajian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan, sebanyak 459 daripada 1,560 buah sekolah dikenal pasti terdedah kepada budaya gengsterisme.


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) melihat isu ini adalah salah satu penyakit yang melanda masyarakat dan negara akibat daripada pendedahan yang melampau terhadap budaya hedonisme. Budaya ini sememangnya merupakan peluru halus milik barat yang bertujuan menghancurkan masyarakat di dunia terutamanya masyarakat Islam. Malah tidak dinafikan, salah satu faktor kehancuran tamadun iaitu kehilangan rangsangan keagamaan dan kerohanian sudah melanda masyarakat Malaysia keseluruhananya.


Dalam hal ini, PMIUM mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah yang lebih serius dalam menangani masalah ini. Elemen hiburan melampau seperti realiti TV, filem-filem berunsur lucah dan ganas dan budaya melihat artis sebagai idol seharusnya dibanteras dengan tegas. Keengganan pihak kerajaan dalam membanteras elemen-elemen ini menunjukkan kerajaan masih lagi tidak serius untuk mengotakan janji dalam pemberian 11 hadiah untuk rakyat yang antaranya adalah untuk memerangi jenayah dan rasuah.


PMIUM yang mewakili barisan mahasiswa sedar bahawa masalah ini seharusnya ditangani bersama. Justeru, PMIUM juga mencadangkan kempen Sifar Jenayah diadakan sebagai salah satu inisiatif menyuntik kesedaran masyarakat berhubung isu ini. PMIUM juga dengan berbesar hati menawarkan kerjasama dan bantuan kepada mana-mana pihak terutama pihak kerajaan untuk sama-sama turun padang bagi menjalankan misi ini.




Fasihah bt Pauzi

Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita & Mahasiswi

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

TERUSKAN MEMBACA

Tak Kenal Maka Tak Cinta




HEWI merupakan satu pertubuhan di bawah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya di mana pertubuhan ini bertanggungjawab terhadap golongan wanita samada para mahasiswi mahupun para kakitangan Universiti Malaya tidak kira dari aspek keagamaan, kebajikan, keilmuan dan sebagainya.

Justifikasi HEWI ditubuhkan adalah disebabkan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) memandang bahawa golongan wanita perlu diberi tumpuan khusus, tambahan pula wanita adalah golongan yang paling dominan di dalam kampus Universiti Malaya ini.

Dengan bertemakan “Kerana Kita Adalah Wanita”, HEWI menggunakan tiga pendekatan utama dalam melaksanakan misi gerakan mahasiswi iaitu Caring, Sharing & Loving (CSL). Pada sesi kali ini, HEWI akan lahir dengan nafas baru dimana ia membawa tiga agenda perjuangan iaitu agenda Pengislahan, Keilmuan dan Kebajikan.

Salam Perkenalan.



Fasihah Mohd Pauzi
(Pengerusi HEWI PMIUM)

Wan Nur Syahirah Wan Mohd Sabri
(Timb.Pengerusi HEWI PMIUM)
TERUSKAN MEMBACA