“Suatu bangsa yang maju tidak cukup hanya dengan pemimpin yang bijak dan bercita-cita, tetapi memerlukan angkatan muda yang bukan sahaja cergas, tetapi juga bercita-cita.” Begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang. Angkatan muda yang dimaksudkan oleh beliau semestinya adalah golongan pemuda-pemudi, atau dalam konteks dunia hari ini ialah kelompok mahasiswa. Benarkah begitu? Atau kita ingin maksudkan kepada mat-mat rempit di hangat malam dan kutu rayau di embun fajar?
Mahasiswalah merupakan satu golongan yang sering menjadi perbualan dari dulu sehingga sekarang. Sudah sekian banyak diskusi, forum mahupun ceramah berkenaan mahasiswa yang melatari serata tempat. Apakah peranan mahasiswa, bagaimana yang dikatakan mahasiswa idealis, masalah-masalah yang mencengkam mahasiswa dan banyak lagi persoalan serta gagasan yang terus-terusan dikupas. Namun begitu, siapakah pula yang dimaksudkan dengan mahasiswa? Ternyata mahasiswa itu adalah ANDA!
Soalan yang sering dilontarkan dan menjadi perbahasan, apakah PERANAN dan SUMBANGAN mahasiswa? Adakah hanya berbangga dengan gelaran mahasiswa sedang diri masih penuh dengan monolog dan tanda tanya? Apakah sudah riuh sekampung kononnya anak Pak Dolah hebat, sudah masuk Universiti Malaya tetapi hati sang empunya masih berteka-teki dan berdialog, nanar tidak tahu punca dan arah sebenar. Apa makna dan erti pada sebuah gelaran terhormat seumpama mahasiswa jika diri masih tenggelam punca?
Ternyata yang ada di kotak pemikiran dan ruang lingkup mahasiswa kini hanyalah 3K. Kata seorang pensyarah varsiti kesayangan kita ini, “Mahasiswa sekarang sudah terkena sindrom 3K”. Ini bukan Datuk K buah hati pengarang jantung Datuk Siti Nurhaliza, malahan ini adalah sindrom Kolej, Kuliah, Kafe. Pagi-pagi dari kolej ke fakulti mendengar kuliah, langsung ke kafe untuk makan bersama buah hati, dan lewat petang pulang ke kolej semula untuk memerap di dalam bilik. Sudahlah tidak turun berjemaah di surau kolej kediaman bagi mahasiswa muslim yang tinggal di kolej, sudahnya tidak pula bergaul dengan masyarakat serta kawan-kawan sekitar yang pelbagai bangsa. Segala program yang baik dan bermanfaat ditolak ke tepi malahan ajakan menyertai program-program ilmiah dilempar jauh! Lebih enak bercanda di bilik tidur, sambil baring-baring menonton filem Cicak Man, membawa ke drama Korea My Girl yang bersiri-siri, atau di hujung-hujung minggu keluar ke Mid Valley untuk bersiar-siar mencuci mata dan membuang masa!
Kalau dibandingkan mahasiswa sekarang dengan mahasiswa dahulu, sangatlah jauh perbezaannya. Dulu, mahasiswa dengan idealismanya dapat menjadi payung kepada masyarakat marhain yang perlukan pembelaan. Tanpa perlu masyarakat menghulur tangan dan menagih simpati di kaki mahasiswa. Bandingkan hal tersebut dengan mahasiswa sekarang, yang mengalami degradasi, baik dari segi intelektualisma, idealisma, patriotisma, maupun semangat jati diri mereka. Usahkan menghulurkan tangan tanda bersimpati dan mengamalkan budaya volunteer, telinga pula dipekakkan pada segala ajakan dan permintaan dari masyarakat. Lihatlah betapa parahnya mahasiswa sekarang. Mahasiswa sekarang, cenderung untuk berpikir pragmatis dalam menghadapi persoalan. Kondisi seperti itu, menjadikan kampus benar-benar menjadi suatu ‘menara gading’ dan jauh dari jangkauan kalangan masyarakat kecil. Mahasiswa menjadi kelas yang elite dan sama sekali tidak tersentuh dengan persoalan kerakyatan.
Bukan itu maknanya pada sebuah gelaran dan sanjungan masyarakat pada seorang peribadi bernama mahasiswa. Di tangan mahasiswa terletaknya pengaduan mereka, di pundak mahasiswa tergalas harapan mereka, bibir kita terzahir suara mereka, di ayunan langkah kita tebayang perjuangan dan jerih perih mereka dan di keringat kita mengalir air mata dan darah mereka. Dalam hal itu, mahasiswa dituntut untuk dapat berperanan lebih nyata terhadap perubahan atau paling tidak menjadi pendokong dari sebuah perubahan ke arah yang lebih baik.
Bukan sahaja pada tangan masyarakat yang memerlukan kita, malah pada makna sebuah amanah dan tanggungjawab idealisma dan intelektualisma yang semakin gersang dari minda dan hati para mahasiswa. Sebarang program perlu ada unsur hiburan, kalau tidak tak best! Inilah juga antara barah yang semakin memburuk dalam diri serta jatidiri mahasiswa. Hiburan, hiburan, hiburan. Falsafah hedonis jiwa berkudis! Hasilnya, lahirlah mahasiswa yang tidak kritis, mandom, lampi (lambat pickup), dan hanya ingin berhibur akibat disumbat dengan program dan aktiviti bercorak hedonisma seperti sotong sumbat yang disumbat dengan pulut.
Jarang sekali mahasiswa cuba berfikir tentang persoalan kerakyatan, keagamaan, atau pun bagaimana konsep memajukan bangsa di era globalisasi ini. Mereka lebih suka diajak bersenang-senang untuk kepentingan peribadi yang bersifat sesaat, seperti kegiatan rekreatif dan hiburan (jika dibanding dengan kegiatan ilmiah).
Ayuh para rakan mahasiswa, kita bukanlah seperti apa yang diwar-warkan oleh masyarakat seperti di atas. Kita adalah mahasiswa yang berjiwa ‘mahasiswa’. Kita berani menggalas peranan kita yang hakiki lalu menerjemahkannya buat tatapan warga dunia, menjadi sejarah pada nadi sebuah bangsa. Siapa mahasiswa itu? ANDALAH MAHASISWA ITU. Buktikan dari sekarang bermula dengan keinginan seterusnya menerjemahkan dengan tindakan. Masa tidakkan pernah menunggu kita. ANDA MAMPU MERUBAHNYA.
HEWI PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA