Pandang Sisi Mahasiswi : Isu Kartika



Sebelum ini, rakyat Malaysia selalu dihangatkan dengan isu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah terlalu ringan sehingga tidak memberi apa-apa kesedaran atau keinsafan kepada penjenayah apatah lagi orang ramai.

Seperti mana dalam ayat 38, Surah al-Maaidah diterangkan bahawa hukuman bukan sekadar balasan terhadap perbuatan jenayah tetapi juga adalah “…suatu pencegahan daripada Allah”. Meskipun ayat ini secara khusus kepada kesalahan curi, namun secara hakikinya ia menunjukkan kesan terhadap hukuman hudud itu sendiri.

Namun sekarang ini kecoh pula isu Mahkamah Syariah terlalu zalim kerana mengenakan hukuman sebatan 6 kali sebatan ke atas model Singapura iaitu Kartika Dewi Shukarno atas sabitan kesalahan jenayah minuman memabukkan.

Bagi pandangan saya selaku pelajar yang masih menuntut di IPT, isu seperti ini tidak perlu dihebohkan dan diperbesarkan sedangkan banyak isu yang lebih kritikal di luar untuk difikirkan penyelesaiannya oleh masyarakat seperti masalah sosial remaja kini yang semakin berleluasa.

Jika dikatakan hukuman sebat ke atas Kartika ini merupakan Diskriminasi Gender seperti mana yang dikatakan oleh golongan Sister In Islam, saya 100% tidak bersetuju dengan apa yang diperjuangkan oleh SIS.

Pada pandangan saya, isu ini bukan isu gender dan tiada langsung kaitan dengan diskriminasi gender, namun sebaliknya ia hanya suatu perubahan yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah atas langkah mengembalikan kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat dalam menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang di sesi agama.
Walaupun denda RM5000 dan hukuman 6 kali sebatan itu tidak menyerupai sepenuhnya hukuman Hudud yang disyariatkan. Namun sekurang-kurangnya, Mahkamah Syariah telah cuba mencari jalan penyelesaian baru dalam mengatasi jenayah syariah di Malaysia.

Tambahan pula, si pelaku sendiri iaitu Kartika juga telah turut mengaku dan bersedia menerima hukuman tersebut dan mengapa perkara ini masih menjadi isu dan ingin di perjuangan oleh SIS dan satu badan lain yang katanya nak menjaga hak wanita.

Kalau benar nak sangat menjaga hak wanita, fikirlah tentang cara penyelesaian mengatasi masalah pembuangan bayi yang berleluasa, isu bohsia, isu pelacuran. Sepatutnya itulah medan perjuangan wanita sebenarnya. Bukan bersifat selektif dan hanya memilih isu tertentu untuk lantang bersuara.


Pejuang-pejuang wanita ini kononnya seperti melawan hukum Allah yang telah disyariatkan. Di mana mereka masih mempertikaikan dan memperlecehkan hukuman yang wajib dilaksanakan bagi setiap umat Islam.

Hakikatnya pejuang hak wanita ini langsung tiada locus standi untuk perbahaskan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Syariah, di mana Mahkamah Syariah berbidangkuasa membicarakan dan memutuskan kes ini seperti yang diperuntukkan dalam Jadual 9 Senarai Negeri dan diperkukuhkan dengan pindaan pada perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dan Hakim juga berhak menjatuhkan hukuman terhadap pesalah yang sendirinya telah mengaku kesalahan yang dilakukan secara rela.

Saya fikir, isu ini hanya mainan politik semata-mata, tiada langsung dari niat suci hati untuk menjaga hak wanita sekali gus niat untuk mencegah jenayah di Malaysia.

Dan satu lagi, isu tangguh hukuman tidak perlu lah diperbesar-besarkan. Mungkin terdapat sedikit masalah teknikal atau kekangan daripada luar yang mendesak Mahkamah Syariah sehingga hukuman sebat ini ditangguhkan. Tambahan pula, kini bulan Ramadhan al-mubarak, semulia-mulia bulan dalam Islam.

Saya seru para pembaca budiman, renung-renungkanlah…janganlah kita menjadi pejuang yang salah medan perjuangannya dan pejuang yang sia-sia. Fikir-fikirkanlah.

*Wan Nursyahirah Wan Mohd Sabri
Timb.Pengerusi Hewi PMIUM 09/10