Duhai wanita peliharalah dirimu




Seorang ibu tua keluar membeli belah bersama anak gadisnya yang amat jelita dan pandai bergaya seiring dengan peredaran fesyen semasa. Tetapi malangnya, fesyen yang digayakannya seharian, langsung tidak menepati garis panduan berpakaian bagi seorang muslimah. Pakaiannya ketat serta begitu menjolok mata dan setiap langkahnya pasti diiringi dengan siulan dan usikan nakal lelaki-lelaki yang tidak mahu menjaga pandangan mereka. Dia hanya tersenyum bangga dengan perhatian yang diberikan. Dan adakalanya apabila teserempak dengan kenalan lelaki, dia akan bertegur sapa dan bertepuk tampar disitu. Mereka bergelak ketawa sehingga tidak sedar ramai yang memerhatikan. Ibunya hanya melihat dari kejauhan dengan seribu satu perasaan yang tidak terluah.

Hari tersebut ialah hari lahir gadis itu. Ibunya berhasrat untuk membelikan hadiah buat anak gadisnya yang tersayang. Ketika sampai di sebuah kedai menjual barangan aksesori wanita, ibu tua itu berkenan membelikan buat anak gadisnya seutas gelang emas sebagai hadiah hari jadi. Setelah mencuba gelang yang diminati, segera si ibu mengarahkan si penjual untuk terus membungkus gelang tersebut, tetapi telah ditegah oleh anaknya:

"Ibu, saya mahukan gelang yang sama tapi bukan yang ini,. Saya mahukan yang masih lagi tersimpan didalam bekasnya"

"Tapi anakku, bukankah gelang ini sama sahaja jenis dan bentuknya itu", Ibunya berkerut kehairanan."

"Eh,tidak ibu. Gelang yang didalam bekas itu, masih terpelihara dan tidak disentuh oleh sesiapa lagi"

Maka, gelang yang sudah dicuba dan disentuh itu, diletakkan semula diruang pameran, Sebaliknya gelang baru yang masih tersimpan didalam stor pula yang diambil oleh anak gadis itu


Kemudian mereka singgah pula di sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis roti dan kek. Semasa sedang memilih roti dan kek yang beraneka jenis itu,anak gadisnya sekali lagi berkata:

"Ibu, saya tidak mahu saya membeli makanan di sini. Roti dan keknya tidak ditutup rapi. Pasti ianya sudah disentuh dan rasanya sudah tidak enak lagi kerana sudah terdedah terlalu lama."

"Jadi, kamu tak ingin membelinya? Ibu rasa roti dan kek tersebut baru sahaja dibakar dan diletakkan disitu"

"Tidak mahulah ibu, pasti sudah ada yang menyentuhnya tadi"

Anaknya terus sahaja keluar dari kedai tersebut.


Ketika berjalan keluar, mereka bersiar-siar seketika di taman tasik berhampiran. Sambil beriringan si ibu berkata:

"Wahai anakku, ibu amat tertarik dengan kata-kata mu tadi"

Mereka duduk disebuah bangku di situ Sambil mengusap lembut rambut anak gadisnya itu dia berkata lagi,

"Anakku...,engkau tahu bahawa barang yang cantik dan mahal pastinya perlu dipelihara dan disimpan sebaiknya. Tetapi ibu hairan, kenapa engkau sanggup membiarkan tubuh dan kecantikkan dirimu terdedah dan dipertonton sewenang-wenangnya kepada orang ramai. Sedangkan jika dibandingkan diri mu dengan gelang emas tadi, pastinya dirimu mempunyai harga yang tidak ternilai. Jadi, sewajarnya dirimu itu lebih perlu untuk dipelihara dan ditutup rapi sebaiknya."

Anak gadisnya itu terdiam.

"Engkau juga ibu lihat sentiasa ingin memiliki sesuatu yang tersimpan elok dan tidak disentuh oleh sesiapa lagi, tetapi dirimu tidak engkau jaga dan lindungi sebaiknya. Engkau senang membiarkan dirimu disentuh dan diperlakukan sewenangnya oleh lelaki lain."

Sambil menggenggam tangan anak gadisnya itu, si ibu berkata lagi,

"Tidak takutkah engkau wahai anakku, andainya tubuhmu dibiarkan menjadi tontonan dan renungan mata-mata yang sentiasa menyimpan keinginan yang mendalam untuk meratah dan menodai diri mu? Tidak risaukah engkau wahai anakku sekiranya nanti dirimu tiada lagi nilai dan harganya, mudah diambil, mudah juga disentuh, dengan mudah juga dicampak dan dibuang begitu sahaja."

Anak gadisnya hanya mampu menundukkan wajahnya, terdiam seribu bahasa.

"Anakku, jika engkau berbangga dan mampu tersenyum lebar dengan gayamu dan kecantikan mu ini, ingatlah, engkau juga mampu menangis dan merana kerana nya.
Ibu tidak mahu dirimu menjadi seperti gelang yang cantik itu, tetapi kerana sudah sering disentuh dan terpamer kepada orang ramai, tiada siapa ingin memilikinya. Sebaliknya gelang lain yang masih tersimpan rapi dan terjaga menjadi pilihan.Akhirnya ia kekal menjadi barang pameran yang hanya boleh dicuba, disentuh dan dipakai sesiapa sahaja .

Ibu juga tidak mahu dirimu menjadi seperti roti dan kek dikedai itu tadi. Sedap dan menyelerakan, tetapi tidak ada yang mahu mengambil dan berani memakannya kerana ia dibiarkan terdedah dan pastinya sudah disentuh oleh tangan-tangan manusia. Akhirnya ia terbiar rosak dan dibuang begitu saja."


Fikirkanlah anakku, barang yang tertutup dan terpelihara selalunya itulah yang menjadi idaman dan impian orang lain untuk memiliknya. Malah nilai dan harganya juga pasti tinggi dan mahal sekali. Dilihat boleh, tetapi untuk disentuh sukar sama sekali. Hanya yang layak sahaja boleh memilikinya...

Jadilah bunga mawar yang indah berpagarkan duri
Jangan biarkan dirimu menjadi sebarangan bunga yang tetap juga indah
tetapi sayang tidak berduri
Apabila tiada duri, tiada lagi benteng yang boleh melindungi keindahan
si bunga daripada sewenang-wenangnya didekati sang kumbang
lantas tercemarlah keindahan dan murahlah nilainya.
Duri mawar itulah yang diumpamakan dengan perbatasan aurat, akhlak dan cara hidup.
dengan pagaran duri itu, kilauan warnanya semakin memancar indah dan harum aromanya
menyelinap disegenap naluri yang mengundang kekaguman di hati sang kumbang,
sehinggakan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.


WANITA : dirimu terhias sebagai sebaik-baik ciptaan...maka jadikanlah dirimu nisa' yang boleh menjadi mujahidah, jihad di jalan Allah...jadikanlah dirimu antara fatayat yang dijulang, cantik dipandang tetapi amat sukar untuk dipegang... jadikanlah dirimu gadis manis yang tak pernah kalah dengan redup panahan mata adam... biar nafsumu hidup dalam tarbiyyah dijalan dakwah, bertintakan darah dan air mata perjuangan, dititip atas warkah penuh kemuliaan dan dikirimkan untuk mujahadah menuju Tuhan.