Wanita yang ber'kiblat'kan HEDONISME ?



Selama ini, saya hanya memahami budaya Hedonisme secara teoritikal. Hidup di bumi Nilam Puri, ruang hiburan yang melalaikan amat minima. Tetapi setibanya saya di Kuala Lumpur, saya melihat budaya ini kebanyakannya di praktikkan oleh sesetengah golongan remaja.


Analisa pertama, kekeringan nilai moral dan agama di kalangan remaja telah membuka ruang yang amat besar untuk terus membudayakan Hedonisme sebagai salah satu cara hidup mereka. Ini amat membimbangkan. Tidak hairanlah apabila manusia seringkali bertindak rakus dalam kehidupan hingga sebahagian aktiviti seharian amat jauh dari norma kehidupan.


Sebagai seorang daie, kita perlu optimis dengan situasi begini. Ia sebenarnya umpama ladang yang subur tetapi mempunyai tanaman yang kering. Bajai dan sirami ia dengan sebaiknya. Buka hati anda, telah datang satu peluang menuai pahala dan ganjaran di kawasan ladang yang lebih luas dan besar.


Dalam pertemuan kita kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat melihat dan menilai sejauh mana bahaya virus Hedonisme ini andai membarah di dalam masyarakat kita terutama wanita, perempuan, siswi dan yang seangkatan dengannya.


Wanita dihiasi dengan sifat lemah lembut, pemalu dan banyak lagi kelebihan yang telah Allah kurniakan. Namun kedatangan budaya Hedonisme ini yang mana pegangan atau pandangan hidup hanya mementingkan keseronokan atau kesenangan. Memetik pandangan Drs Sudarsono di dalam bukunya, Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja terbitan Bina Aksara, beliau berpendapat Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan.


Inilah yang kita khuatirkan apabila wanita-wanita meletakkan kesenangan hidup sebagai puncak tertinggi melebihi Allah dan Rasul. Melihat hidup bermewah –mewahan melebihi kepentingan menjaga diri dan maruah. Natijahnya,ramai wanita yang tersungkur menyembah harta dan duit. Punca dan sumber duit? Ah,itu sudah tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting kehendak mereka dapat dipenuhi. Menjadi GRO, shopping sakan menghabiskan duit pinjaman dan biasiswa, membohongi ibubapa kononnya hendak beli buku.. banyak lagi kemungkaran berantai hasil virus hedonisme ini. Wanita tidak sedar rupanya mereka diperalatkan ! Diperalatkan oleh budaya barat yang tidak ingin melihat kebangkitan wanita dunia yang mempunyai moral dan nilai hidup yang tinggi.


Mereka khuatir andai wujud lagi wanita persis Saidatina Khadijah yang menjadikan hartanya sebagai asset penting untuk menyumbang kepada kebangkitan islam.

Ya, barat cukup takut!


Mereka khuatir andai wujud lagi wanita persis Sumayyah,yang sanggup berjuang sehingga menempah syahid semata-mata membela agama Allah.

Ya, barat cukup takut!


Mereka cukup khuatir andai semakin ramai wanita-wanita yang menghayun langkah bersama Zainab al Ghazali wanita berjiwa besi yang tidak gentar dengan salakan laknatullah.

Ya,barat cukup takut!


Mereka cukup khutir andai ramai wanita yang mempunyai akal dan pemikiran yang kritis dan berstrategi dalam usaha memenangkan agama Allah seperti Maryam Shaleh anggota kabinet Hamas.

Ya,barat cukup takut!


Untuk itu wahai wanita-wanita sekalian, perhatikanlah kembali bagaimana kita mengatur jalan hidup kita. Hidup di dunia hanya satu persinggahan singkat. Di dunia inilah kita mencorak identiti apa yang kita akan gunakan untuk kembali menemui Allah. Adakah wanita yang mukminah, wanita yang fasiq, wanita yang solehah, wanita yang munafiq ? Pilihan di tangan kita. Lumrah manusia itu sifatnya mudah terleka dan terlalai. Tapi usah bimbang, jalan taubat masih terbuka luas.

Sekali lagi, pilihan di tangan kita!


Bertanyalah andai tidak tahu, sedarlah kembali saat manusia dalam kelalaian, bangkitlah kembali saat manusia tengah hanyut dalam lautan duniawi, berpeganglah pada tali Allah saat kau merasa lemah. Kerana hakikatnya, Allah tidak pernah meninggalkan mu.


`maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat’
(surah An Nasr:3)





oleh: Nor Hasyimah bt Bujang
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
http://peladangallah.blogspot.com