Utusan Malaysia dalam laporan akhbar pada 17 April 2009 baru-baru ini telah mendedahkan fakta bahawa jenayah ragut di Kuala Lumpur telah mencatatkan kenaikan mendadak hampir 100%. Ini berdasarkan statistik jenayah ragut pada bulan Januari hingga April 2009 yang mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam bulan ini sahaja, pada hari Selasa – 5 Mei 2009 ; Seorang wanita hamil, Puan Jamilah Selamat telah meninggal dunia di Johor Baharu selepas koma akibat diragut semasa menunggang motorsikal. Pada hari Rabu – 6 Mei 2009 : dua kejadian sama berlaku di dua tempat berbeza. Puan Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok Kelantan yang mengandung tiga bulan, maut selepas diragut oleh seorang lelaki. Manakala di Pulau Pinang Nenek Tom Salleh,86 telah meninggal dunia kerana menyelamatkan anaknya dari menjadi mangsa ragut.
Pihak kerajaan,pihak polis,pihak berwajib yang lain serta semua rakyat malaysia perlu membuka mata lebih luas kerana kes jenayah ragut ini menjadi semakin tidak terbendung. Apa yang diperlukan kini, bukan sekadar cadangan dan lontaran idea yang bertimbun-timbun. Tapi apa yang penting pelaksanaan cadangan dalam bentuk tindakan yang lebih praktikal.
Bentuk penyelesaian yang perlu dilaksanakan ialah terhadap penjenayah ragut ini sendiri sama ada dalam bentuk pendidikan kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan. Dari satu segi pula, perlunya ada usaha pencegahan dan pendidikan kesedaran di kalangan ahli masyarakat khususnya golongan wanita yang lazimnya menjadi sasaran utama peragut.
Bentuk penyelesaian terhadap penjenayah ragut yang perlu di nilai kembali ialah salah satunya ialah saranan yang pernah dilontarkan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya kerajaan meningkatkan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah sebagai langkah mencegah kejadian jenayah termasuk ragut, perlu diberi perhatian pelbagai pihak, ini kerana 58,000 bekas penagih dadah keluar dari pusat serenti dan mereka cuba mendapatkan pekerjaan.Bagaimanapun, apabila gagal dan kecewa dalam persaingan, golongan itu mudah terjebak semula dalam gejala penagihan, sekali gus mendedahkan mereka kepada jenayah ragut atau mencuri. Tambahan pula dalam era krisis ekonomi yang semakin meruncing, golongan ini menjadi lebih terdesak dan mengambil jalan mudah dengan melakukan jenayah ini.
Satu bentuk tindakan yang tegas dalam bentuk hukuman dan penguatkusaan kepada peragut juga perlu dilakukan. Cadangan untuk mewujudkan akta khusus ragut yang diutarakan oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang juga wajar untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Akta yang ada kini dilihat tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada penjenayah ragut,kerana kebiasaannya jenayah ragut ini dilakukan oleh orang yang sama dek kerana mereka telah merasa ‘selesa’ dengan perkerjaan mungkar yang mereka lakukan.
Seterusnya, saranan kepada golongan yang berpotensi menjadi mangsa ragut, khususnya wanita. Teramat banyak kempen dan usaha memberi kesedaran kepada wanita tentang pentingnya menjaga keselamatan diri sendiri namun masih tidak berkesan. Realiti kes yang berlaku adalah apabila wanita kini masih terleka dan mendedahkan diri sendiri kepada bahaya ragut itu sendiri.
Dalam Islam sendiri telah menggariskan beberapa panduan terbaik kepada wanita sebagai langkah pencegahan berlakunya jenayah. Mungkin selama ini kita terlepas pandang dan hanya memandang remeh panduan ini. Antaranya ; Keluar rumah atas tujuan yang perlu sahaja seperti berkerja, menuntut ilmu, dan lain-lain tujuan yang baik. Selain itu, disarankan wanita agar tidak keluar berseorangan dan sewajibnya mematuhi garis panduan pakaian yang telah ditetapkan dalam Islam. Jika panduan ini di laksanakan sebaik mungkin, sudah pasti ianya akan menjadi benteng pencegahan terbaik bagi wanita.
Persoalan yang ingin ditimbulkan untuk renungan bersama? Adakah selama ini, penyelesaian yang dilakukan adalah umpama tikus membaiki labu. Tidak menyelesaikan masalah malah menambah burukkan lagi masalah. Ataupun, sebenarnya langkah penyelesaian yang dilakukan umpama mekanik yang menukar tayar motor sahaja sedangkan tiubnya yang telah bocor tidak ditukar?Kita telah tersalah analisis punca masalah sebenar dan menyebabkan kegagalan yang berterusan.
Justeru, muhasabah dan refklesi kembali perlu di lakukan disetiap peringkat. Tindakan segera dan efektif perlu dicatur dan dilaksanakan oleh semua pihak. Apa jua tindakan itu, diharapkan dapat melindungi rakyat negara ini untuk terus merasa selamat berjalan di negara sendiri.
Oleh :
Fasihah Mohd Pauzi
Timb.Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
Nota Kehidupan 1
7 years ago